1.Apa Itu Internet?
Internet merupakan jalinan rangkaian komputer dengan rangkaian komputer lain di seluruh dunia yang menyalurkan data dan maklumat.
Rangkaian-rangkaian ini datangnya daripada berjuta-juta pengguna sama ada pengguna akademik, perniagaan mahupun rangkaian kepunyaan kerajaan di seluruh dunia.
Maklumat seperti mel elektronik ( electronic mail) sembang dalam talian (online chat) , penghantaran fail serta pelbagai maklumat dan perkhidmatan menggunakan Internet. Ini membolehkan kita berkomunikasi dan bertukar maklumat antara individu dan manusia sejagat.
2. Mengapa Internet penting?
Internet begitu penting ketika ini. Ada pelbagai kegunaan Internet, sama ada sebagai satu saluran bagi mendapatkan maklumat, ianya juga digunakan untuk menghantar maklumat atau bertukar-tukar maklumat. Berbagai-bagai bidang menggunakan Internet ketika ini.
3. Kegunaan Internet
Antara bidang yang banyak menggunakan Internet ialah :
Pendidikan - berbagai-bagai laman web dibina untuk menyalurkan maklumat dan menyampaikan ilmu atau pendidikan. Banyak laman-laman web berbentuk pendidikan, contohnya http://myschoolnet.ppk.kpm.my/ , http://www.tuitionstudio.com/ . Dengan adanya laman-laman web sedemikian, pengguna Internet terutamanya pelajar-pelajar sama ada di peringkat rendah, menengah rendah dan di peringkat universiti berpeluang mendapatkan bahan-bahan pendidikan sama ada secara percuma atau berbayar. Kebanyakan bahan-bahan seperti jurnal-jurnal, makalah-makalah dapat diperolehi secara percuma. Terdapat juga laman-laman web yang menyediakan tutorial tentang sesuatu perkara atau subjek secara percuma, seperti mana laman web yang anda sedang layari sekarang. Bukankah berkongsi pengetahuan dan memberi ilmu pengetahuan itu suatu perkara yang baik?
Email (Mel elektronik) - penghantaran surat secara biasa atau dipanggil juga sebagai snail mail semakin berkurangan kerana surat-surat yang dihantar kebiasaannya lambat sampai atau memakan masa. Ini berlainan dengan mel elektronik (email) yang akan tiba kepada penerima dalam masa kurang daripada seminit. Antara laman web yang menyediakan email secara percuma ialah http://www.google.com dan http://www.yahoo.com . Mereka memberikan ruang email secara percuma.
Perdagangan - ketika ini perdagangan dan perniagaan semakin berkembang maju dan rancak. Semua ini kerana adanya Internet yang banyak memberikan kemudahan untuk para peniaga berhubung dan menjalankan urusniaga dengan cepat dan pantas. Bahan-bahan dan produk-produk yang hendak diniagakan dapat ditunjukkan kepada pembeli secara terus dan cepat. Peniaga dapat menghantar brosur produk, mempamerkan hasil-hasil perkilangan di dalam laman web. Dari situ, pengguna dan pembeli dapat membuat pemilihan dan membuat pembelian. Antara laman web itu ialah http://www.amazon.com .Adakah ini memudahkan kita?
Perhubungan dan kemasyarakatan - Internet menyediakan satu kaedah kepada pengguna untuk menyatakan pandangan atau pendapat. Dari sini wujudlah "blog" yang berupa catatan peribadi seseorang. Masyarakat boleh memperoleh idea berkenaan sesuatu perkara. Bagaimanapun, sebagai pengguna, kita seharusnya menilai pendapat seseorang sebelum menggunakannya. Ruang-ruang forum juga semakin digemari dan menjadi tumpuan peminatnya. Di sini kita dapat berbincang pelbagai topik, berbincang dan memberikan pendapat. Sebagai contoh, http://www.bincang.net
Berita - terdapat laman web yang menyediakan bahan berbentuk berita. Pengguna boleh membaca atau melihat rakaman video tentang sesuatu peristiwa. Kita tidak hanya berpeluang membaca berita berkisarkan peristiwa tempatan, malah peristiwa yang berlaku di seluruh dunia dapat kita ketahui. Antara laman web berbentuk berita ialah ; http://www.thestar.com.my/ , http://www.muslimguardian.com/ , http://www.allied-media.com/aljazeera/ , http://news.bbc.co.uk/
Sesungguhnya Internet menyediakan pelbagai perkara, maklumat, bahan-bahan sama ada ianya berguna ataupun tidak. Banyak kegunaan Internet sehinggakan kita seharusnya bijak memilih bahan yang ingin kita lihat dan pelajari.
4. Siapakah yang mengawal Internet?
Internet tidak dikawal oleh seseorang atau pun sesebuah organisasi. Pelayan Internet bertanggungjawab terhadap sebahagian daripada rangkaian. Mereka bertanggungjawab terhadap penyenggaraan, sambungan, dan sentiasa berkerjasama dengan pekerja-pekerja teknikal dan masyarakat. Kamu boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Internet dari Organisasi Web Sedunia ( World Wide Web Organization ) di http://www.w3.org .
5. Kebaikan dan keburukan menggunakan Internet.
Banyak kebaikan dan keburukan dengan adanya Internet. Internet jika disalahgunakan akan membawa mudarat dan bahaya kepada pengguna. Antara kebaikan yang boleh diperolehi ialah:
Mudah untuk mendapat pelbagai maklumat terutamanya kepada pelajar-pelajar kerana terdapat banyak pertubuhan sama ada sekolah, organisasi yang memberi info percuma berkaitan pelajaran. Info sains, matematik, geografi dan sebagainya amat banyak dan berguna. Maklumat ini dapat menambah pengetahuan kepada para pelajar.
Internet memberi kemudahan kepada pengguna untuk membeli sesuatu barangan yang diminati daripada seluruh dunia tanpa perlu pergi ke kedai. Bukankah ini suatu yang menarik dan mudah?
Internet menjadi media komunikasi antarabangsa. Jika menggunakan telefon biasa kos komunikasi lebih mahal berbanding dengan menggunakan Internet. Selain itu, Internet menyediakan pelbagai kaedah komunikasi iaitu melalui sidang video, email, messenger dan sebagainya.
Cuba anda berbincang dengan rakan-rakan anda, apakah kebaikan-kebaikan lain yang boleh kita perolehi dengan menggunakan Internet.
Bagaimanapun, Internet juga mendatangkan keburukan kerana Internet tidak dikuasai atau dikawal oleh seseorang atau pun organisasi. Antara keburukan yang mungkin berlaku ialah:
Ilmu yang kamu perolehi mungkin sesuatu yang tidak sesuai dengan budaya, agama, keadaan / situasi di sesuatu tempat. Ini boleh menimbulkan pertelingkahan dan pergaduhan jika sesuatu isu dibincangkan.
Maklumat yang diperolehi mungkin tidak benar dan ini boleh menimbulkan keadaan huru-hara kepada sesebuah masyarakat.
Kemungkinan laman web yang anda kunjungi tidak tulen dan menjalankan kegiatan penipuan terutamanya laman web yang menjalankan aktiviti perniagaan. Oleh itu, kamu seharusnya sentiasa berhati-hati.
Apakah keburukan-keburukan lain? Sila bincangkan dengan guru anda.
6. Sejarah Internet
Mari ketahui serba sedikit sejarah Internet.Internet bermula dengan kajian dalam rangkaian komputer yang dilakukan oleh Jabatan Pertahanan Amerika (American Department of Defense = DOD) dikenali sebagai ARPA. Ini terjadi ketika perang dingin antara Amerika Syarikat dengan Kesatuan Soviet. Tujuan ARPA adalah untuk membangunkan sistem pertahanan yang dapat menyelamatkan Amerika.
Pada mulanya sistem ini berjalan dengan baik tanpa kebocoran. Ianya digunakan oleh pihak tentera, universiti dan pelbagai syarikat. Sistem rangkaian ini dikenali sebagai ARPANET.
Pada tahun 1984 perkembangan Internet berkembang dengan pesat. Pelajar-pelajar universiti beberapa kali menceroboh sistem ini. Akhirnya sistem ini terbahagi kepada dua iaitu:
MILNE, untuk kegunaan tentera
ARPANET, untuk pihak universiti.
ARPANET berkembang pesat dan menjadi dikenali sebagai Internet pada masakini. World Wide Web atau dikenali sebagai WWW ialah perkhidmatan Internet yang paling dikenali. Ianya mengandungi berbilion laman web yang dibangunkan oleh pelbagai organisasi dan individu. Anda boleh melihat pelbagai laman web dengan menggunakan pelayar web (Web Browser). Ingat kembali; mengapa Internet penting?
Apabila anda melayari Internet, anda sebenarnya sedang menggunakan perkhidmatan WWW. Anda juga boleh menggunakan Internet tanpa menggunakan WWW, contohnya apabila anda menggunakan email POP3. Dapatkan maklumat lanjut mengenai penggunaan WWW dan tanpa WWW.
7. Bagaimana Internet Berfungsi?
Apa beza HTTP dengan HTML? HTTP adalah kependekan Hypertext Transfer Protocol sementara HTML pula ialah Hypertext Markup Language. Kedua-duanya menjadikan Internet berfungsi.
HTTP digunakan sebagai bahasa yang membenarkan komunikasi berlaku di dalam WWW. Ianya membuatkan bahasa HTML dapat dibaca oleh pengguna Internet.
HTML digunakan untuk membina laman web (hompej). Ianya berupa bahasa komputer yang mudah. Tidaklah sukar untuk mempelajari HTML. HTML menerangkan bagaimana sesebuah laman web dipaparkan. Ianya mengandungi teks, grafik dan link. Anda boleh menghasilkan kod HTML dengan menggunakan Microsoft Office Word ®. Penggunaan MS Word akan menghasilkan dinamik HTML (dynamic HTML) kerana ia menghasilkan kod (codes) secara dinamik.
Untuk menghasilkan dokumen HTML anda cuma perlu menyimpan (save) fail sebagai dokumen dengan dot (. Atau titik) HTML. Sebagai contoh; indek.html. fail-fail boleh disambungkan atau bersambung (link) dengan berbagai-bagai perkhidmatan lain, contohnya email, enjin pencari dan sebagainya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar